ALOR STAR, 24 Mac (Bernama) -- Pendahulu liga, Kedah mengukuhkan cengkaman di persada liga apabila membelasah Perak 5-1 dalam saingan bola sepak Liga Super di Stadium Darulaman, di sini, malam ini.
Gol pertama Kedah diperolehi pada minit ke-13 apabila pemain Perak S. Subramaniam tertampan bola ke dalam gawang sendiri susulan rembatan kencang Mohd Khyril Muhaymeen di depan pintu gol pelawat.
Mohd Khyril menjaringkan dua gol pada minit ke-20 dan 25 untuk kedudukan 3-0.
Tidak lama selepas itu, Kedah yang mendapat sokongan lebih 35,000 penonton memperoleh gol keempat pada minit ke-39 menerusi Marlon Alex James yang menggelecek pertahanan lawan disusuli rembatan kencang ke gawang gol.
Perak berjaya merapatkan jurang menerusi Mohd Razali pada minit ke-71.
Gol kelima Kedah dihasilkan pada minit ke-77 menerusi Mohd Fadly Baharom yang merembat kencang di luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Perak, Mohd Hamsani Ahmad.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment