KUALA LUMPUR 18 Nov. - Kira-kira setahun lalu, Wee Meng Chee, 26, atau Namewee pernah menggemparkan negara dengan mencipta klip video kontroversi lagu Negarakuku yang menghina lagu kebangsaan.
Begitupun selepas tindakannya dikecam pelbagai pihak, dia yang merupakan pelajar jurusan komunikasi massa Universiti Ming Chuan, Taiwan ketika itu memohon maaf dan menyesal dengan perbuatannya.
Bagaimanapun kekesalan Namewee hanya sementara apabila kini dia muncul pula dengan satu lagi klip video kontroversi mengutuk Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Dalam klip yang boleh dimuat turun di YouTube menggunakan tajuk Namewee F*** TNB Malaysia itu bermula dengan dia berada di rumahnya pada waktu malam apabila bekalan elektrik tiba-tiba terputus.
Dia kemudiannya kelihatan menelefon seseorang yang didakwanya TNB.
Dia mendakwa panggilan itu tidak dijawab sehingga menyebabkan dia berang dan pergi ke sebuah pejabat TNB berdekatan dengan diiringi jurukamera.
Ketika sampai di pejabat itu, Namewee menuntut penjelasan kepada kakitangan di pejabat tersebut dan meminta notis atau pemberitahuan tentang ketiadaan elektrik.
Biarpun kakitangan di situ cuba mententeramkan Namewee dengan memberitahu bekalan elektrik terputus akibat kerosakan namun dia tetap tidak berpuas hati.
Sebelum keluar daripada pejabat berkenaan dia memaki hamun kakitangan-kakitangan itu dengan bahasa kesat sambil menunjukkan isyarat lucah dengan tangan.
Dia kemudian menghabiskan klip video berkenaan dengan kata-kata mencarut dan gambar isyarat lucah berkenaan.
0 comments:
Post a Comment