HTML Free Code
CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sunday, September 14, 2008

Liverpool kecewakan MU

LIVERPOOL, England - Selepas sekian lama dikecewakan, Liverpool akhirnya memperoleh kemenangan moral, semalam selepas berjaya menewaskan musuh tradisinya, Manchester United 2-1 di tempat sendiri, Anfield.

Ternyata keputusan yang amat dinanti-nanti itu disifatkan oleh pengurus Liverpool, Rafael Benitez sebagai petanda baik dan keyakinan diri kepada pemainnya untuk memburu kejuaraan Liga Perdana England musim ini.

Liverpool tidak pernah menang ke atas United dalam saingan liga domestik England sejak 2004 - terima kasih kepada gol sendiri Wes Brown dan gol kemenangan yang dijaringkan pemain gantian, Ryan Babel pada lewat permainan.

Sebelum itu, Carlos Tevez meletakkan United di depan dengan gol pembukaan seawal minit ketiga permainan untuk melenyapkan seketika sorakan penyokong di Anfield.

Namun, ia tidak mematahkan semangat pemain Liverpool yang terus mengasak dan menguasai permainan sehingga berjaya menjinakkan anak buah Alex Ferguson.

Kemenangan itu, kata Benitez, pastinya akan menjadi batu loncatan untuk meraih kejuaraan liga yang kali terakhir dimenangi pada 1990.

"Ia keputusan yang cukup penting. Kedudukan kami juga kini baik tetapi yang lebih penting ialah pemain kami telah membuktikan mereka mampu bermain cemerlang apabila menentang pasukan yang kuat," ujar Benitez.

Bagi Ferguson, beliau mengakui Liverpool memang berhak memenangi perlawanan ini sambil berang dengan persembahan yang ditunjukkan oleh anak buahnya.

"Kekalahan memang tidak boleh dielakkan tetapi bukan dengan cara seperti ini. Pertahanan begitu longgar sehingga menyumbang kepada dua jaringan lawan.

"Keseluruhannya, Liverpool memang lebih bagus walaupun kami bermula baik. Tetapi itu tidak cukup jika hendak dibandingkan dengan persembahan yang ditunjukkan oleh lawan," tegas Ferguson.

Katanya, sudahlah pertahanan begitu, Nemanja Vidic pula dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua manakala Michael Carrick pula ditimpa kecederaan.

Keadaan itu pastinya satu tamparan hebat buat United menjelang perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah menentang Villareal Rabu ini dan Chelsea dalam saingan liga, Sabtu depan.

- AFP

0 comments: