HTML Free Code
CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Thursday, April 17, 2008

Kedah menang selesa

KEJAYAAN mempertahankan kejuaraan Liga Super menyemarakkan semangat skuad Kedah untuk mencipta kemenangan ketiga dalam saingan Kumpulan D Piala AFC, selepas menewaskan wakil Hong Kong, South China 3-0 di Stadium Darulaman malam tadi.

Namun, satu lagi wakil negara dalam kejohanan itu, Perak hanya mampu seri 2-2 dengan Kitchee juga dari Hong Kong di Stadium Mongkok, Hong Kong dan pasukan bimbingan Steve Darby itu kini berdepan kemungkinan gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir.

Jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah menurunkan barisan terkuatnya pada perlawanan semalam dalam usaha memburu tiga mata berharga bagi mencerahkan peluang ke suku akhir.

Pemain sayap yang kini beraksi selaku penyerang utama, Khyril Muhymeen Zambri memperoleh peluang gol pertama tuan rumah seawal minit ke-4 apabila berjaya melepasi pertahanan lawan, namun rembatannya dari sebelah kanan terkena palang gol South China.

Kedah terus menguji penjaga gol South China, Zhan Chunhui pada minit ke-11, tetapi percubaan Khyril kali ini lemah dan terus ke dakapan Zhang walaupun tiada pertahanan yang mengawalnya.

Peluang terbaik pelawat hadir pada minit ke-14, apabila hantaran silang Fan Weijun gagal disekat benteng Kedah tetapi tandukan Trales Schutz terkena palang kanan gol Kedah.

Pemain pertahanan Kedah, V Thirumurugan turut memperoleh peluang pada minit ke-37 apabila berjaya menyambut baik umpanan Nelson Sam Martin namun rembatannya terus ke dakapan Zhang dan kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat babak pertama.

Kedah meneruskan serangan pada babak kedua dan usaha mereka akhirnya berhasil pada minit ke-54, apabila umpanan Cornelius Bernard Hugging berjaya dikawal baik oleh Marlon Alex James yang kemudian melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan Zhang.

Jaringan Marlon memberi keyakinan kepada Kedah untuk terus mengasak dan berjaya melebarkan kedudukan pada minit ke-70 menerusi Nelson dan pemain tengah Chile itu memastikan kemenangan Kedah dengan jaringan keduanya lima minit sebelum tamat perlawanan.

0 comments: