HTML Free Code
CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Saturday, August 30, 2008

Azraai Intai Pemain Muda Untuk Musim Depan

ALOR STAR, 28 Ogos (Bernama) -- Ketua jurulatih pasukan bola sepak Kedah, Azraai Khor Abdullah sedang mengintai pemain muda yang berbakat untuk diserap ke dalam skuad Hijau Kuning itu bagi mengharungi saingan musim depan.

Beliau berkata pemain muda diperlukan bagi menggantikan tiga pemain import di posisi pertahanan, penyerang dan pemain tengah.

"Saya lebih suka memilih pemain di bawah umur 23 tahun kerana kita mementingkan kelajuan yang menjadi satu kelebihan untuk pasukan.

"Namun masih terlalu awal untuk saya mengumumkan nama calon-calon itu kerana kebanyakan pemain masih terikat dengan kontrak mereka, jadi kita mesti menghormati pengurusan pasukan yang memiliki mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kenduri arwah serta kesyukuran di rumahnya di Jalan Sultanah di sini hari ini, sempena kejayaan skuad bimbingannya menjuarai tiga piala bagi dua musim berturut-turut.

Azraai berkata beliau kini sedang menumpukan perhatian kepada persiapan bagi menghadapi perlawanan suku akhir Piala AFC menentang kelab Bahrain, Al Muharraq pada 16 dan 23 Sept ini.

"Untuk itu, kita turut membuat permohonan kepada beberapa pasukan tempatan untuk mendapat khidmat pemain bagi membantu Kedah beraksi dalam Piala AFC," katanya.

Azraai berkata kesemua kontrak pemainnya akan diteruskan manakala bagi pemain simpanan, keputusan untuk mengekalkan mereka bergantung kepada penilaian prestasi mereka sepanjang musim lalu.

Ditanya kemungkinan ada pemain Kedah berhijrah ke pasukan lain musim depan, beliau berkata sekiranya berlaku, sudah pasti ia amat mengejutkan kerana pengurusan Kedah telah memberikan layanan terbaik kepada pemain dan mereka seharusnya mengambil iktibar daripada pemain yang sebelum ini memilih untuk meninggalkan pasukan Kedah.

"Mereka boleh fikir sendiri kerana contoh sudah ada dan saya tidak akan mengambil kembali pemain yang telah meninggalkan pasukan ini kerana ingin memberi peluang kepada mereka yang setia kepada negeri," katanya.

Azraai berkata beliau sendiri mendapat banyak tawaran sama ada dari pasukan dalam dan luar negara, namun beliau memilih untuk kekal di Kedah atas semangat kesetiaan kepada negeri.

"Saya juga menerima tawaran daripada beberapa kelab terkemuka di Singapura, tapi saya tidak mementingkan pendapatan lumayan kerana kepuasan berkhidmat di negeri ini melebihi segalanya," katanya.

0 comments: