SANKT POELTEN, Austria 17 Mac - Perbicaraan Josef Fritzl yang dituduh mengurung dan menjadikan anak perempuannya sebagai hamba seks selama 24 tahun, diteruskan hari ini dengan lebih soalan ditanyakan kepada pihak defendan dan keterangan melalui pita rakaman oleh anak perempuannya yang menjadi mangsa nafsu buasnya.
Perbicaraan terhadap Fritzl, 73, mula dijalankan semalam selepas satu rakaman keterangan anaknya, Elisabeth ditunjukkan di mahkamah supaya dia tidak perlu hadir ke perbicaraan itu.
Keterangan mangsa selama 11 jam yang dirakam secara tertutup akan ditunjukkan sedikit demi sedikit sepanjang perbicaraan itu yang memakan masa berminggu-minggu.
Fritzl semalam, mengaku bersalah atas tuduhan sumbang muhrim, merogol dan mengurung anaknya, namun menolak dakwaan pembunuhan dan perhambaan.
Fritzl bagaimanapun, tidak mengaku bersalah atas tuduhan membiarkan bayinya mati sejurus selepas dilahirkan pada 1996, menurut kertas pertuduhan setebal 27 muka surat.
Tuduhan tersebut, yang membawa kepada hukuman penjara seumur hidup, dinafikan oleh Fritzl yang mendakwa bayi itu mati dalam kandungan.
Dia juga menafikan tuduhan melakukan penghambaan dan ada mengugut untuk membunuh tawanannya pada tahun lalu.
Dalam keterangan pembukaannya, pihak pendakwaan menuduh Fritzl menggunakan Elisabeth, 42, sebagai 'alat mainan' bagi tempoh masa 24 tahun dengan mengurung mangsa di sebuah bilik di bawah tanah sehingga melahirkan tujuh anak.
Sementara itu, peguam tertuduh cuba menggambarkan anak guamnya sebagai individu yang tidak kejam, dengan mengatakan Fritzl hanya mahu membina satu lagi keluarga selain dengan isterinya, Rosemarie, 69.
Peguamnya menegaskan tertuduh juga mengambil berat tentang keadaan anaknya yang dikurung.
''Jika anda mengurung anak perempuan anda untuk mengadakan seks dengannya, anda tidak akan mempunyai anak lain, anda juga tidak akan membelikan buku sekolah atau pokok krismas untuknya,'' katanya.
Berbeza dengan pendakwa Christiane Burkheiser, beliau berkata, jenayah yang dilakukan tertuduh sebagai sukar dipercayai kerana merogol mangsa di hadapan anak-anaknya.
Beliau pada masa sama, menyifatkan Fritzl tidak menunjukkan sebarang tanda kesal atau sedar tentang kesalahannya.
Sementara itu, Erich Huber-Guensthofer yang juga Timbalan Pengarah Penjara Poelten yang menempatkan tertuduh berkata, Fritzl bukan individu yang luar biasa.
''Jika dia duduk di satu tempat, anda tidak akan perasan dia, dia sungguh bersopan-santun,'' katanya. - AFP
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm
0 comments:
Post a Comment