KEDAH tewas pada perlawanan pembukaan Kumpulan G Piala AFC di Stadium Hang Day Hanoi, Vietnam kelmarin.
Pada perlawanan itu Kedah dibelasah 3-1 oleh kelab Hanoi ACB.
Begitupun, jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata dia berpuas hati dengan kekalahan itu.
Reaksi yang diberikan Azraai itu mungkin akan mengundang kemarahan penyokong namun itulah jawapan yang diberikannya ketika diminta mengulas mengenai kekalahan skuad Kenari pada perlawanan pertama Piala AFC itu.
Azraai menjelaskan, dia bukanlah gembira pasukannya ditewaskan lawan tetapi berpuas hati dengan corak yang dipamerkan jentera Kedah ketika beraksi atas padang yang kurang berkualiti dan becak itu.
Katanya, walaupun pasukan lawan berjaya berada di hadapan dengan dua jaringan pada babak pertama namun pemainnya masih dapat mendominasikan permainan itu.
"Saya tidak menyalahkan mereka (pemain) dengan kehadiran tiga gol lawan itu kerana dua daripada jaringan muncul akibat pemain yang mengawal bola telah terjatuh sebelum bola tersebut disambar penyerang lawan.
"Pemain terjatuh akibat padang becak kerana hujan," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, rentak yang dipamerkan oleh pemain yang bukan daripada kalangan kesebelasan utama telah mempamerkan rentak permainan yang lebih bertenaga.
Menurutnya lagi, mungkin nasib tidak menyebelahi mereka walaupun banyak percubaan dilakukan oleh jentera serangannya yang diketuai Khyril Muhymeen Zambri dan Syafiq Jamal.
"Begitupun perlawanan ini bukanlah yang terakhir kerana pasukan Hanoi ACB juga akan bertandang ke Alor Setar selepas ini dan ketika itu saya rasa pemain pasti dapat menebus kekalahan ini," tegasnya.
Kedah yang menghuni kumpulan G akan bertemu Chonburi FC dari Thailand di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 17 Mac ini.
kosmo
0 comments:
Post a Comment