HTML Free Code
CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, April 8, 2009

Kedah peroleh kemenangan pertama, Johor kecundang

ALOR SETAR – Kedah berjaya memperoleh kemenangan pertama dalam saingan Piala Konfederasi Asia (AFC) selepas menundukkan Eastern Athletic daripada Hong Kong 2-0 di Stadium Darulaman malam tadi.

Pertemuan malam tadi merupakan perlawanan ketiga Kedah bagi Kumpulan G di kejohanan tersebut.

Pasukan tuan rumah yang membariskan pemain berpengalaman ternyata ampuh mengatur serangan ke arah kubu lawan.

Kedah hampir memperoleh gol awal pada minit ketiga menerusi percubaan Shafizan Hashim, namun ia berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Eastern Athletic, Yapp Hung Fai.

Seminit selepas itu, lawan pula mendapat sepakan percuma dan disempurnakan oleh Yeung Ching Kwong, tetapi percubaan tersebut tersasar ke tepi gawang Kedah.

Berbekalkan misi memburu tiga mata penuh, Kedah terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-27.

Jaringan pembukaan itu hadir menerusi tandukan Farizal Rozali yang menerima sepakan sudut Badrol Bakhtiar.

Perlawanan yang terus mempamerkan keseimbangan selepas itu tidak menghalang Eastern Athletic untuk mengatur serangan balas.

Kubu pasukan Kedah yang menerima cubaan penyerang lawan turut cemas seketika sebelum pertahanannya kembali mengalih bola ke kawasan lain.

Kelebihan beraksi di tempat sendiri juga menjadi perangsang kepada pemain tuan rumah untuk menggandakan kedudukan.

Jaringan kemenangan pasukan Kedah muncul menerusi Mohd. Azrul Ahmad pada minit ke- 77 selepas dia menerima hantaran Farizal.

Permainan yang semakin rancak selepas itu bagaimanapun gagal mengubah kedudukan yang memihak kepada pasukan Kedah.

source utusan

0 comments: