HTML Free Code
CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Friday, April 10, 2009

Segerakan qada solat


Solat fardu yang dituntut ke atas setiap mukalaf wajib ditunaikan selagi tiada halangan syarie yang menghalang dari melakukannya kefarduan tersebut.

Jumhur ulama sepakat mengatakan wajib mengqada solat yang tertinggal, sama ada secara sengaja ataupun kerana keuzuran.

Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Sekiranya ada sesiapa di antara kalian yang tertidur dari solat (sehingga terluput waktu), atau terlupa dari menunaikannya maka hendaklah dia menunaikan solat tertinggal atau yang terlupa itu apabila dia teringat, sesungguhnya Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dirikanlah solat semata-mata ingat pada-Ku. (riwayat Muslim, jld:1, hlm:477).

Maksud dua keuzuran syarie yang berlaku melalui fitrah manusia, pertama tertidur dan yang kedua terlupa. Sekiranya kedua-dua keadaan sama ada terlupa mahupun tertidur, maka hendaklah diqada solat itu. Mengqadakan solat yang sengaja ditinggalkan tentu adalah lebih utama.

Hadis Rasulullah yang lain bermaksud: Hutang Allah lebih utama dilangsaikan. (riwayat al-Bukhari, jld:3, hlm:46)

Mengqada ibadat yang fardu adalah wajib dan ia hutang yang tertanggung ke atas setiap individu muslim tidak boleh tidak wajib ditunaikan. Dengan demikian wajiblah bagi setiap orang yang meninggalkan solat atau mana-mana kefarduan yang lain tanpa keizinan syarak wajib melangsaikannya sebelum bertemu ajal.

Tunaikan setiap waktu yang tertinggal dengan mengqadanya pada waktu-waktu yang anda mampu melakukannya.

Contohnya diharuskan bagi mereka yang ingin mengqada solat yang tertinggal dengan melakukan qada pada bila-bila masa, asalkan bukan pada waktu larangan. Waktu itu ialah selepas waktu solat fajar dan selepas solat asar sehingga masuk waktu maghrib, atau lebih tepat ketika naik matahari dan ketika tenggelam matahari.

Tiada alasan

Selain daripada kedua waktu ini adalah harus melakukan qada, seperti selepas solat zuhur, maghrib. Ini kerana mengqada ibadat adalah wajib disegerakan dan tidak boleh bertangguh.

Adalah lebih baik saudara utamakan solat qada daripada solat-solat sunat, tetapi lebih baik kalau kedua-duanya dipelihara bersama.

Namun, kedudukan solat sunat adalah mengikut kesempatan dan kelapangan tetapi solat yang wajib yang tertinggal mesti dicari masa untuk mengqadanya.

Maksudnya, selepas solat fardu maghrib boleh mengqada solat asar, selepas zuhur boleh mengqada solat subuh, maksudnya tidak semestinya mengqada solat yang tertinggal pada waktunya.

Sebenarnya tiada alasan yang boleh kita berikan kenapa kita tidak mahu qada dan tidak sempat. Kalau diteliti, kita ada masa yang cukup untuk mengqada solat yang tertinggal tetapi pelbagai variasi alasan yang diberikan atas kealpaan itu.

Apa yang menghairankan kita ialah sikap manusia yang sempat melakukan aktiviti-aktiviti sehariannya. Menonton televisyen, minum di kedai kopi, melayan khidmat pesanan ringkas (sms), makan dan minum, baca akhbar, melayan e-mel, melayari Internet dan pelbagai lagi aktiviti sememangnya sempat kita lakukan. Tetapi apabila membicarakan masa solatatau qada solat yang wajib, kenapa pula tidak sempat?

Kenapa? Jawapannya, kita tidak serius dalam melakukan perintah Allah SWT. Kadang-kadang manusia lebih takut kepada perintah yang dikeluarkan oleh ketuanya berbanding arahan yang dikeluarkan oleh Tuhan yang mencipta, memberi kehidupan dan rezeki kepadanya.

Allah wajib dipatuhi, ketua juga wajib dipatuhi, tetapi apabila bertembung arahan ketua dan arahan Allah SWT, maka arahan Allah mesti diutamakan.

Contohnya Allah memerintahkan kita solat, ketua kita suruh kita jangan solat, maka perintah Allah mesti diutamakan berbanding dengan perintah ketua.

Selagi mana seseorang itu tidak mengqada solat, selagi itulah taubatnya tidak diterima Allah SWT.


source: utusan